Himpunan berita semasa, terkini, muktahir, sensasi, gossip dan panas

Archive

Kalau Allah Mahu Ambil Nyawa, Saya Redha – Seniwati Mariani

on Monday, April 28, 2014


Dulu kami dimanjakan, rumah, bil air dan elektrik tak perlu bayar. Baju tak payah beli, kalau nak membeli-belah pun kedai yang datang ke studio. Ada lima orang doktor jaga kita, pilih saja nak yang mana,” cerita seniwati Mariani mengimbas kembali zaman kegemilangannya sekitar era 1950-an.

Tiada niat katanya untuk membeza-bezakan perihal layanan dahulu dan sekarang, cuma Mariani, 81, meluahkan rasa kesal atas sikap segelintir rumah produksi yang sering memperlekehkan dirinya dalam industri.

Pernah katanya dia dipermainkan oleh pihak yang pada mulanya bersetuju untuk mengambilnya berlakon, namun menggantikan pelakon lain pada saat akhir tanpa memberitahunya.

“Kadar bayaran untuk saya cuma RM1,000 sehari tapi tidak pernah pun cerewet minta macam-macam. Kadang-kadang kena tipu, janji nak datang ambil pukul 12 tengah hari tapi sampai pukul 2 petang pun belum sampai.

“Apabila telefon balik katanya sudah ada pengganti pelakon lain,” luahnya yang ditemui pada majlis sambutan ulang tahunnya ke-81 tahun di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.



Karakter hantu

Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail merupakan kakak kepada biduanita negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dan menjadi antara seniwati paling bergaya sekitar kegemilangan Studio Jalan Ampas, Singapura.

Ibu kepada pelakon Melissa Saila itu mula menceburi bidang lakonan selepas memenangi pertandingan ratu cantik di Singapura pada tahun 1951 ketika berusia 17 tahun.

Antara filem lakonannya yang popular ialah Chemburu, Istana Impian, Nasib Labu-Labi, Tiga Abdul, Masam-masam Manis, Putus Sudah Kasih Sayang dan Darah Muda.

Selepas beberapa kali mendukung peranan hantu antaranya dalam filem Khurafat dan Santau, Mariani menegaskan, dia terpaksa menolak tawaran bersifat sedemikian kerana sudah terlalu penat.

“Sekarang sudah kurang tawaran berlakon kerana saya sering menolak tawaran karakter hantu. Produser suka saya jadi hantu kerana kata mereka saya realistik!

“Tapi saya sudah penat untuk melakonkan karakter yang sama berulang-kali. Sekarang banyak watak yang saya boleh lakonkan sudah diambil alih orang muda.

“Agaknya mereka rasa kadar yang saya tetapkan selama ini tidak berbaloi dengan watak,” katanya.



Azam 81 tahun

Bagaimanapun, ibu kepada 13 orang anak itu bersyukur kerana peluang berlakon tidak pernah surut walau tidak selebat dulu.

“Saya tidak pernah mahu berhenti berlakon sejak pertama kali saya menceburi bidang ini. Alhamdulillah, walau produksi lain tidak mahukan saya lagi ada antara produksi yang sudi memanggil saya berlakon,” ujarnya yang baru selesai penggambaran sebuah telefilem tribute kepada seniman Tan Sri P.Ramlee berjudul Tiada Kata Secantik Bahasa.

Sempena meraikan ulang tahun ke-81 pada 19 April ini, Mariani memanjatkan doa agar diberikan kesihatan berpanjangan untuk melihat keluarga yang masih bersalut bahagia.

“Saya sudah tiada azam lagi, mudah-mudahan diberikan kesihatan yang berterusan. Kalau Allah mahu ambil nyawa saya, saya reda.

“Saya gembira dan bersyukur sampai ke usia 81 tahun sebab ketika melahirkan Melissa Saila umur saya sudah 39 tahun.

“Ingatkan tidak sampai usia Melissa 20 tahun saya sudah menghembuskan nafas terakhir tapi syukur Alhamdulillah sekarang Melissa pun sudah 42 tahun dan saya masih ada di dunia ini,” tuturnya.

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment