k
KUALA TERENGGANU: Peruntukan RM100 juta untuk membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, dekat sini boleh disifatkan sebagai satu skandal, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.
Menurut beliau, peruntukan yang besar bagi kerja-kerja membaik pulih adalah tidak wajar kerana ia boleh membina satu stadium baru.
Beliau kesal kerana stadium asal yang berharga lebih RM300 juta itu hanya sempat diguna kurang dua tahun sebelum bumbungnya runtuh.
“Bertahun-tahun kita menanggung malu, rakyat menanggung beban, peminat-peminat sukan bolasepak terpaksa bersesak-sesak menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah Kuala Terengganu akibat stadium baru terpaksa diperbaiki,” katanya ketika membahas Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin di Persidangan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-13, baru-baru ini.
Menurutnya, jika wang RM100 juta itu diberi kepada Pakatan Rakyat, satu stadium baru dapat dibina.
Dr Syed Azman menambah, walaupun isu stadium runtuh itu telah acap kali disebut di persidangan Dun namun pihak yang sepatutnya bertanggungjawab belum didedahkan kepada umum.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam ucapan penggulungan menjelaskan kerajaan negeri telah mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi stadium runtuh itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.
Namun apabila Adun-Adun Pakatan Rakyat memohon nama pihak terbabit didedahkan, Menteri Besar enggan menjawab secara terperinci.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment