SEJAK pelakon kacak Hans Isaac memberitahu media bahawa dia bakal menamatkan zaman bujangnya pada hujung tahun ini, ramai yang membuat spekulasi bahawa aktor ini bakal mengahwini aktres jelita, Neelofa.
Bagaimanapun, apa yang menjadi perhatian ramai apabila pelakon itu telah memuat naik gambar bekas kekasihnya iaitu Elaine Daly, menerusi laman Instagram miliknya.
Perkara ini menimbulkan tanda tanya dan kekeliruan, sehingga Elaine yang ditemui pada majlis koleksi terbaharu jenama Fesyen Dressing Paula sempena Musim Bunga & Panas 2014, baru-baru ini menjelaskan status hubungan mereka.
“Hans bukan cinta hati saya!,” tegas Elaine, 37. Menurutnya, hubungan dengan Hans sudah lama berakhir dan kini status mereka kekal sebagai teman.
Malah, Elaine memberitahu apa yang mengekalkan status hubungan itu adalah kerana hubungan kekeluargaan antara mereka begitu rapat.
“Saya dengan Hans sudah berpisah sejak 12 tahun lalu dan sehingga kini hubungan kami masih rapat. Saya memang sudah ada teman lelaki. Dan semasa gambar itu diambil, saya bersama keluarga. Saya juga duduk di sebelah teman lelaki saya dan berdepan dengan Hans,” katanya.
Dalam pada itu, bekas ratu cantik dan juga pelakon ini juga terkejut apabila mengetahui Hans bakal menamatkan zaman bujangnya akhir tahun ini.
“Oh, dia nak kahwin? Saya akan telefon dia tanya tentang hal ini,” katanya.
Pilih jejaka Afrika
Tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara berkaitan hal peribadi Hans Isaac, Elaine mengakui telah mengenali seseorang yang memahaminya dan mereka juga telah merancang untuk berkahwin.
Menegaskan hatinya sudah dimiliki oleh warganegara Afrika Selatan itu, dia berkata, sangat selesa mengenali kekasihnya itu.
“Selepas dua tahun solo akhirnya saya bertemu dengannya. Memang kami baru sahaja kenal. Sekarang, kami sedang mengenali hati budi masing-masing.
"Sejak mula saya jumpa dia, hati saya terus terdetik mengatakan dialah orang yang selama ini saya cari. Saya sangat gembira dan bahagia sekarang. Dia amat memahami, mengambil berat dan matang. Saya sangat suka caranya.
“Saya tidak pernah berjumpa lelaki yang sememangnya begitu memahami dan sanggup menunggu saya ketika saya sedang bekerja. Dia adalah satu-satunya lelaki yang melayan saya dengan cara yang paling baik dan penuh rasa hormat,” katanya.
Menurut Elaine, sikap pandai menjaga serta menghormati orang tuanya membuatkan dia semakin yakin mendampingi jejaka bergelar doktor itu.
"Orang tua juga turut merestui hubungan kami. Kalau ikutkan memang saya mahu cepat-cepat berkahwin. Maklumlah sebab saya dah berusia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Elaine yang memegang jawatan sebagai Pengarah Pertubuhan Ratu Cantik Kebangsaan ini sibuk menguruskan uji bakat pencarian ratu cantik (Miss Universe) 2014 mulai Mei depan, selain menunggu filem terbaharu, Permata Hati, yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
sumber
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment