gambar hanya sekadar hiasan
BESUT: Seorang kanak-kanak berumur lapan bulan meninggal dunia akibat tertelan skru sepanjang dua sentimeter di rumahnya di Felda Selasih dekat sini semalam.
Ketika kejadian, Muhammad Adam Nazmi Yusmadi dikatakan sedang bermain di dalam rumah bersama dua abangnya berumur lima dan tiga tahun.
Ketua Polis Daerah Besut Supritenden Kamaruddin Mohd Zakaria berkata kejadian disedari oleh abang mangsa berumur 5 tahun yang memberitahu datuknya yang berada di luar rumah setelah melihat adiknya itu tidak sedarkan diri selepas muntah-muntah.
Kamaruddin berkata ketika kejadian ibu mangsa sedang mandi manakala datuk dan neneknya sedang membuat kerja masing-masing di sekitar rumah mereka.
“Apabila menyedarinya, mereka mengejarkan mangsa ke Hospital Daerah Besut tanpa mengetahui ia telah tertelan skru," kata Kamaruddin kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya mangsa meninggal dunia setibanya di hospital.
Kamaruddin berkata mangsa dan ibu bapanya tinggal bersama datuk dan neneknya sejak beberapa tahun lalu di Felda berkenaan.
Pemeriksaan pihak hospital kemudiannya mengesan sebatang skru sepanjang dua sentimeter terlekat di kerongkong kanak-kanak berkenaan, yang kemudian berjaya dikeluarkan.
Mengesahkan hal itu, Pegawai Perubatan hospital, Dr Nur afi’dah M. Zulkepli berkata skru itu menyekat aliran udara (nafas) mangsa di kerongkong.
Kamaruddin berkata pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian.
Mayat mangsa dituntut oleh datuknya kira-kira jam 6.30 petang semalam. -
Sumber
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment