Ujarnya, walaupun memuatnaik sembarangan foto atau status peribadi adalah hak seseorang artis, namun golongan itu tetap terikat kepada sensitiviti agama dan semangat ketimuran yang amat tinggi di kalangan masyarakat negara ini.
“Iyalah…kadang-kadang kita begitu teruja, kadang-kadang kemesraaan dan keintiman suami isteri atau pasangan bercinta itu pada saya eloklah hadkan untuk pandangan mata sendiri sahaja. Tapi pada waktu yang sama orang yang nak letak gambar sedemikian dia kena bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Satu mungkin dikritik, kedua mungkin macam-macam spekulasi yang akan timbul dan yang paling penting sensitiviti kaum dan juga agama kita kena ambil kira jugaklah.
Aznil berkata demikian ketika diminta mengulas trend artis masa kini yang tanpa segan silu memuatnaik gambar-gambar dengan pasangan masing-masing sama ada murhim atau tidak, dalam keadaan intim.
Keadaan menjadi semakin buruk apabila, sesetengah artis melenting apabila ditegur peminat yang tidak gemar melihat selebriti yang mereka minati berkelakuan tidak sopan dalam laman sosial.
Terbaru, penyanyi terkenal Hazama dilaporkan berang dengan peminatnya apabila menegurnya berpelukan dengan kekasihnya ketika bercuti di luar negara. Selain Hazama, pelakon tersohor, Aaron Aziz dilapor pernah memaki hamun peminat yang menegur anaknya menerusi laman Instagramnya.
Industri hiburan juga kecoh seketika apabila pasangan suami isteri yang juga pelakon serta model, Diana Danielle dan suaminya Farid Kamil memuatnaik sekeping gambar intim di atas katil dalam laman sosial itu.
Pasangan yang baru mendirikan rumahtangga, pelakon Rozita Che Wan dan Zain Saidin juga dikritik peminat apabila memuatnaik gambar mesra mereka, yang juga diambil di atas katil. Menurut Zain, gambar itu tidak akan ditarik balik berikutan sudah lali dengan tumpuan yang keterlaluan yang diberikan terhadap isterinya, oleh peminat.
Mengulas perkembangan itu, Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil, percaya mana-mana artis di negara ini sudah bersedia dan mampu untuk berdepan dengan kritikan sebaik sahaja bergelar selebriti.
Namun, sekiranya mereka belum bersedia dan mampu berdepan dengan segala kemungkinan yang berlaku adalah lebih baik tidak berbuat demikian.
“Sebelum mereka nak letak sesuatu gambar itu sepatutnya faham dan seharusnya menerima kritikan itu secara terbuka. Lagi pun mereka tahu kedudukan mereka sebagai selebriti terdedah kepada kritikan, komen dan juga makian.
“Saya percaya mereka yang letak gambar-gambar sedemikian sudah bersedia dan mampu melaluinya. Dan kalau tak mampu saya sarankan cepat-cepatlah turunkan gambar itu,” katanya lagi.
Pak Nil turut menegaskan, peminat berhak memberikan komen mahupun kritikan kepada foto atau apa sahaja yang dimuatnaik seseorang artis kerana tindakan berkongsi ‘bahan’ itu sendiri telah membayangkan mereka bersedia untuk dikomen atau dikritik.
Bagaimanapun beliau mengingatkan kepada peminat agar menegur atau memberi komen secara berhemah dan tidak berniat untuk mensabotaj serta memalukan seseorang artis itu.
“Tapi harus diingatkan juga walaupun peminat ada hak untuk tinggalkan komen…kalau pada pandangan mereka orang itu dah buat salah kenapa perlu mereka berbuat salah juga dengan memberi komen cara komen yang negatif?
“Kalau mereka nak menegur seharusnya kita ada cara dan juga bahasa yang boleh digunapakai dan yang lebih baik. Tetapi jika digunakan bahasa yang kasar, makian, mencemoh memanglah…saya percaya semua orang akan marah,”katanya.
Ujarnya lagi, selebriti tidak akan marah jika ditegur dengan cara yang betul namun ia akan naik berang jika ditegur dengan cara yang salah.
“Saya rasa artis tak marah mereka dikomen tapi mereka marah sebab cara mereka dikomen itu,”jelasnya.
sumber
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment